Pagi itu, ayah kelihatan amat gembira sekali. Entah kenapa dia kelihatan gembira kerana sebelumnya beliau jarang terlalu gembira macam hari ini. Hati ini macam tidak sedap walaupun ayah sangat gembira. Pagi-pagi lagi ayah telah ke kebun getah untuk mengutip sekerap bersama seorang kawan rapatnya.
Aku yang sudah siap untuk pergi kerja agak kaget dengan sikap ayah. Masih menunggu Pak kin sampai kerana motorku ada di workshop. Apabila pak kin sampai, ayah dan kawannya sampai di rumah sambil mengheret dua guni sekerap. Ayah apabila berjumpa dengan abang iparnya, sungguh mesra dan bergurau senda macam tidak ada yang berlaku selepas ini.
Sebelum bertugas ke kawasan Jenderak, kami tiga orang sempat serapan pagi bersama. Aku melihat Pak kin begitu seronok berbincang sesuatu dengan ayah. Memang rasa tidak sedap hati untuk bertugas pada waktu ini namun kerana perjuangan rakyat gagahi juga.
Aku dan Pak kin terus pergi kerja. Semasa dalam dalam perjalanan saya berselisih dengan adik sepupuku merangkap adik angkat kerana sejak kecil mak yang jaga dia. Dia bekerja sebagai pemandu traktor Felcra..rasanya muatan dalam traktor yang dia bawanya guni-guni baja. Seperti biasa adik Lan begitu ceria sambil mengangkat tangan kepada sebagai tanda hormat.
Setelah siap kerja yang dibuat, aku dan kawan-kawan pulang dari Temerloh lebih kurang jam ditangan menunjukan jam 7 malam. Singgah di sebuah gerai di Kuala Krau untuk makan, saya belanja semua kawan-kawan seramai enam orang. Rasa puas dalam hati.
Dalam perjalanan pulang, saya rasa berselisih dengan dua orang sangat kenali. Kalau tidak silap memandu motorsikal jenis Honda EX5. Mungkin perasaan aku sahaja. Sampai di rumah, saya terus tidur kerana benar-benar penat. Adik-adik menonton televisyen sambil berborak dengan agak kuat. Macam nak marah tetapi sabar sahajalah.
Aku terdengar bunyi motorsikal ulang-alik ke rumah Pak Ahmad di sebelah. Kenapa pulak macam tak sedap sahaja hati. Tiba-tiba Em Tam datang ke rumah. Dia memanggilku dan mak. Dia tergagap untuk memberitahu sesuatu, akhirnya ” Mak cik, Lan dah tidak ada lagi dan ada di hospital Temerloh”. Mak tanya lagi, “ Pak cik kamu macam mana?” “ Dia..dia juga pergi bersama adik Lan”.
Tersirap darahku, benar-benar terkejut dan serta-merta mak rebah dan tidak sedar diri lagi. Secara tidak sedar terdapat air jernih keluar daripada kelopak mataku. Aku tidak pernah mengeluarkan air mata sebelum ini. Terasa terlalu pantas untuk semua ini berlaku kerana baru pagi tadi bersama bersarapan. Ayah dan Adik Lan telah pergi untuk selamanya dan pergi tidak kembali lagi. Setiap kenangan menjelma difikiranku..aku berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat Tuhan Yang Esa. Mungkin ada hikmahnya disebalik apa yang berlaku.