Search This Blog

Saturday, July 31, 2010

Akta Orang Asli dipinda tanpa perbincangan?

Siri jelajah untuk menerangkan Dasar Pemberimilikan Tanah kepada Orang Asli telahpun berakhir dan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) dijangka akan dibentangkan pada sesi parlimen yang sedang berlangsung.

Namun, draf pindaan berkenaan setakat ini masih belum dibekalkan kepada masyarakat Orang Asli untuk dinilai, kata seorang pemimpin Persatuan Siswazah Orang Asli (PSOA), Bob Manolan. Beliau memberi contoh, satu program penerangan yang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Kuantan pada 6 Mac lalu, yang dihadiri sehingga 80 orang tok batin dan anggota jawatankuasa kemajuan kampung Orang Asli di negeri itu. "Penerangan itu lebih kepada satu input yang diberikan oleh JHEOA, di mana mereka akan ceritakan kebaikannya sahaja -- kenapa mereka perlu pinda Akta Orang Asli dan kepentingannya kepada Orang Asli. "Tetapi pada akhirnya, bila batin minta satu draf cadangan itu, mereka pun tak ada. Pihak JHEOA tiada draf itu. Cuma mereka kata, 'kita akan pinda, beri tanah kepada isi rumah dua hingga enam ekar.' "

Tapi yang lain-lain tidak disebut. Tanah mana yang hendak diberi, adakah tanah yang kita duduk sekarang atau tanah yang baru. Yang saya tahu, program jelajah sudah berakhir, dan sepatutnya draf cadangan sudah siap." katanya yang juga pengerusi biro Orang Asal PKR Pahang. Menurut Bob, draf tersebut sepatutnya diserahkan kepada NGO Orang Asli untuk dikaji bagi membolehkan mereka membuat rujukan dengan majlis peguam, khususnya berkaitan pindaan Akta 134. Tambahnya, pemimpin PSOA juga sebelum ini diumumkan akan menyertai majlis rundingan dengan JHEOA untuk mendapatkan input daripada masyarakat Orang Asli dalam memperbaiki Dasar Pemberimilikan Tanah berkenaan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal selepas beliau menerima bantahan daripada sekumpulan 2,000 Orang Asli yang berdemonstrasi di Putrajaya. Ia diumumkan selepas beliau menemui anggota PSOA ketika Konvensyen Tanah dan Akta Orang Asli 2010, anjuran persatuan itu, juga pada 6 Mac lalu. Turut dijemput pada majlis rundingan berkenaan ialah NGO yang mewakili Orang Asli, termasuk Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) serta golongan cendekiawan daripada masyarakat tersebut. "Tapi saya sudah semak dengan presiden POASM, beliau juga belum lagi hadiri apa-apa perbincangan. Memang jawatankuasa itu telah ditubuhkan tapi belum dipanggil untuk buat perbincangan," kata Bob.

Kebimbangan utama yang ditimbulkan oleh masyarakat Orang Asli berhubung pindaan akta tersebut ialah keluasan tanah yang diusahakan dan didiami oleh mereka sekarang. "Dari cadangan (dasar tersebut), tanah yang telah diusahakan sekarang akan dibahagi bahagikan lagi. Ia akan dipecah kepada hanya (seluas) dua hingga enam ekar (untuk setiap ketua isi rumah). Cadangan itu bagaimanapun tidak mengambil kira kawasan tanah adat dan tanah rayau,menurut seorang anggota POASM, Yusri Ahon.


Jelas Yusri, tanah adat merupakan kawasan pertanian yang diusahakan secara nomad oleh Orang Asli, manakala kawasan tanah rayau merupakan kawasan untuk memburu dan mengutip hasil hutan. Katanya lagi, kawasan berkenaan sepatutnya kekal menjadi milik Orang Asli memandangkan mereka bukan saja telah menjalankan aktiviti mereka di situ sejak sekian lama, malah turut mengebumikan saudara-mara mereka di kawasan berkenaan. Sekiranya kawasan tanah ini tidak diambil kira, beliau menganggarkan antara 50 hingga 80 peratus kawasan Orang Asli yang akan 'hilang,' katanya lagi yang juga merupakan seorang pemimpin akar umbi PKR di Jerantut, Pahang.

1 comment:

  1. Betul tu bro sepatutnya perbincangan harus dibuat bersama-sama masyarakat oa dulu baru boleh pinda akta...ramai orang kita yg dah selesa hidup keadaan begini sudah ada kebun sendiri walaupun tidak bergeran mereka sudah hidup selesa dan tidak diganggu oleh org luar. Sepatutnya setiap Pindaan Akta 134 harus diperhalusi dahulu orang seluruh masyarakat orang asli malaysia ini.Memang betul kawasan rayau kita memang luas.saya pernah dengar kenyataan saudara yusri ahon..fikir-fikirkan..

    ReplyDelete