Search This Blog

Sunday, March 14, 2010

Ceroboh,ceroboh dan ceroboh

Tanah Adat Orang Asal Kg Rekoh diceroboh!



Ehsan daripda Haji Suhaimi said

Inilah permulaan laluan motorcross.
--
Pertikaian berat telah berlaku. Penduduk Orang Asal Kg Rekoh membantah pencerobohan Tanah Adat mereka di Kg Rekoh, Kuala Krau oleh Persatuan Kelab Motocross Felda Jenderak Selatan. Kelab Motocross tersebut menyatakan bahawa mereka telah mendapatkan kebenaran daripada pihak Felda Gugusan Mempaga untuk menebas dan menebang kawasan tersebut untuk dijadikan laluan motorcross. Bagi mereka tanah tersebut adalah milik Felda Jenderak Selatan.
Dakwaan mereka itu dipertikai oleh penduduk Orang Asal Kg Rekoh dan kampong-kampong sekitar.

Pekerja-pekerja yang menjalankan kerja-kerja menebang dan membersihkan laluan sedang berehat semasa piket dijalankan oleh penduduk Orang Asli Kg Rekoh

------

Batin Awang bin Dengkil, iaitu Batin Kg Rekoh menyatakan bahawa didalam kawasan hutan itu terdapat makam nenek moyang mereka, dan tanah tersebut adalah tanah adat bagi Orang Asal untuk Kg Rekoh, Kg Beredut dan Kg Paya Pelong.
Kawasan yang diceroboh ini dahulunya dinamakan Kg Lakum yang diduduki oleh Orang Asal yang kini berpindah ke Kg Rekoh, Kg Paya Pelong dan Kg Berdut.

Sdr Rosli Panjang, Ketua UMNO Cawangan Kg Rekoh
---
Disini dahulunya dikatakan sebagai Rezab Orang Asli semasa Batin Jeng a/l Sulong masih hidup lagi.
Ketua UMNO Cawangan Kg Rekoh, Sdr Rosli Panjang, menyatakan bahawa penduduk Orang Asli di Rekoh, Paya Pelong dan Beredut menentang pencerobohan ini dan mendesak pihak berkuasa supaya pencerobohan itu diberhentikan dengan serta-merta.
Sebagai Ketua UMNO Cawangan, pihaknya telah menghubungi ADUN kawasan Jenderak, YB Datuk Mohamed Jaafar dan Ahli Parlimen kawasan Kuala Krau YB Ismail Said, tetapi wakil-wakil rakyat itu tidak dapat datang dan tidak juga menghantar wakil UMNO Bahagian bagi menyelesaikan masalah yang timbul dan beliau sangat kesal kenapa Wakil-Wakil Rakyat itu tidak dapat hadir atau sekurang-kurangnya menghantarkan wakil.
Batin Awang bin Dengkil
------
Batin Awang bin Dengkil menyatakan bahawa beliau tidak boleh menerima sikap pihak berkuasa yang tidak sanggup melindungi hak Orang Asli di kawasan ini.
Beliau menuntut Pihak Berkuasa supaya berunding terlebih dahulu dengan pihak Orang Asal sebelum menerangkan hutan-hutan sekitar perkampongan Orang Asal kerana disana terletak makam-makam nenek moyang mereka.
Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada En Suhaimi Said, Ketua PKR Kuala Krau yang sanggup hadir walaupun diberitahu dengan tempoh yang pendek.

Sdr Rosli Panjang, Ketua UMNO Cawangan menyatakan bahawa perjuangan Orang Asli kini menjadi satu, tidak lagi berpecah belah dan beliau menepuk bahu Ketua PKR itu dan berkata: Perjuangan kita sudah menjadi satu.

Warga yang tertua yang berumur melebihi 60 tahun, En Jaafar b. Abdul Rahman yang turut berpiket menyatakan bahawa selama ini beliau memberikan kepercayaan kepada UMNO untuk membela kaum Orang Asli, tetapi dengan kejadian ini kepercayaannya hancur berkecai.
Kawasan yang diceroboh itu berjarak sejauh 2 km dan melibatkan penyodokan tanah yang luas dan penebangan kayu-kayu hutan.

Hadir bersama didalam piket itu adalah En Yusri Ahon, AJK Persatuan Orang Asal Semenanjung Malaysia (POASM) dan En Shafie Dris, AJK Jaringan Orang Asal Semenanjung Malaysia (JOAS), En Sambut, Ketua UMNO Cawangan Kg Mendoi, En Charli Din, Ketua PKR Ranting Kg Mendoi.
Penduduk Kg Rekoh berpiket
------------------------------
"Saya tidak faham dengan sikap Kerajaan, kerana sudah banyak kali Pihak Orang Asli menghantarkan Memorandum kepada semua pihak berhubung tanah adat Orang Asal di Negeri Pahang ini. Bahkan kita sudah menyerahkan Memorandun kepada KDYMM Sultan Pahang melalui Setiausaha baginda dan kepada YAB Menteri Besar Pahang, juga kepada Pejabat Tanah dan Pejabat PTG. Tetapi semua tuntutan dan permohonan kami tidak diberikan sebarang perhatian," keluh En Shafie dan selepas itu menyerahkan kepada wartawan dan kepada En Suhaimi Said, wakil PKR memorandum yang pernah diserahkan kepada pihak-pihak berkuasa.


"Tanah-tanah adat Orang Asli langsung tidak dihormati oleh pihak berkuasa, kawasan-kawasan rayau kami, kawasan cari makan kami, sudah menjadi begitu sempit.

"Kepada kami, Orang Asli, pihak berkuasa berkata bahawa kami tidak perlu mendapatkan geran tanah. Semua kawasan hutan adalah bebas untuk kami merayau, mencari rezeki, dan bercucuk tanam, tetapi apabila kami ingin berbuat demikian kami dikatakan menceroboh kerana tanah-tanah hutan itu sudah diwartakan
Penduduk Kg Rekoh mulai sampai ke kawasan
pencerobohan.
---------
sebagai Rezab Perhilitan.

Piket yang diadakan oleh Orang Asli dipinggir Kampong Rekoh itu menampakkan perpaduan yang rapat dikalangan mereka yang terdiri daripada Ahli-Ahli UMNO dan Anggota-Anggota PKR dan melambangkan satu perjuangan bersama.

Mereka bersatu walaupun datang dari parti politik yang berbeza.
Kejadian pencerobohan ini bukanlah kali pertama berlaku di kawasan perkampongan Orang Asal disini, bahkan pada tahun lalu suatu kawasan yang luas di Kg Paya Pelong telah juga dicerobohi dan akhirnya lebih dari 200 ekar kawasan rayau mereka telah diluluskan kepada JKKK beberapa buah kampong di Kerdau dan orang-orang perseorangan; dan janji pihak berkuasa untuk memajukan tanah bagi tanaman getah dan kelapa sawit untuk Orang Asli di Kg Paya Pelong tidak pernah ditunaikan.

Begitu juga sebuah kawasan yang begitu besar di sebelah Daerah Jerantut telah dijadikan Padang Golf. Walaupun Orang Asli di kawasan itu membantah dengan berpiket dan berdemonstrasi, hak mereka keatas hutang tersebut telah pun lupus.



Kawasan Orang Asal bersempadan dengan perkampongan Orang Asal Sungai Mai, Jerantut telah diluluskan kepada indiividu-individu dan kawasan-kawasan yang diluluskan kepada pihak luar itu terdapat kubur-kubur dan makam-makam nenek moyang mereka. Begitulah nasib kaum Jah Hut Temerloh-Jerantut. Tanah mereka menjadi semakin sempit. Kawasan hutan rayau mereka telah ditebang oleh pembalak-pembalak yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Kebun-kebun yang mereka usahakan sendiri dengan tanaman getah telah diambil alih dari mereka dan dijadikan tanah TSK/TSB dan tuan-tuan asal kepada kebun-kebun itu tidak memilikki semula tanah-tanah TSK/TSB itu.



"Kami bukanlah orang yang
ganas. Kami sangat bertolak ansur, dan walaupun hak kami tidak dipertahankan oleh Kerajaan, kami masih patuh dengan undang-undang," kata Yusri Ahon dari POASM.
"Kami memohon supaya hak kami dihormati supaya kami boleh meneruskan kehidupan kami sebagai Orang Asal, agar kami ada tempat berteduh dan ada pula punca rezeki bagi kami.




Penduduk Kg Rekoh berpiket didepan bulldozer yang
menebang hutan untuk dijadikan laluan motorcross.

1 comment:

  1. Salam Sejahtera..

    Nampaknya blog yang ini amat bagus sekali,ini blog yang semua nanti-nantikan. blog info seperti ini yang perlu ada dalam Buletin Jahut kerana ia penuh info untuk di renungi bersama, semoga orang "luar" dapat tahu dan sedar apa yang tersurat dan tersirat bagi semua persoalan yang terbuku yang menyebabkan Orang Asli kini penuh kesedaran dan agresif memperjuangkan hak mereka.
    Selamat maju jaya..

    ReplyDelete